Friday, November 11, 2011

TRAGEDI 11.11.11

Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan 
mangsa yang tertimbus di dalam pasir.

Empat termasuk dua murid maut, tujuh parah; Bas rombongan terbalik
sebelum dirempuh treler pasir

SLIM RIVER: Ketika ramai memilih 11.11.11 sebagai hari istimewa semalam, 36 pelajar dan empat guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Merah, Kulim, Kedah, sebaliknya melalui tragedi mengerikan apabila bas rombongan yang dinaiki terbalik, sebelum dirempuh sebuah treler ketika kebanyakan mangsa merangkak untuk menyelamatkan diri, menyebabkan empat orang terkorban.

Dalam kemalangan jam 4.30 pagi di Kilometer 382, Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat sini, dua rakan mereka Khairul Anwar Azhan dan Maysarra Zaidi, masing-masing 15 tahun, mati di tempat kejadian dengan mayat Maysarra dikesan hampir tujuh jam kemudian dalam longkang di bawah timbunan pasir dari treler yang jatuh bertaburan. Pelajar yang memperoleh 8A ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) itu pada mulanya dilaporkan hilang selepas usaha mengesannya di lokasi kejadian dan hospital sebelum itu gagal.

Guru mereka, Siti Hajar Mohamad, 33, dari Kota Sarang Semut, Kedah pula meninggal dunia di Hospital Slim River (HSR) dengan sebelah kakinya putus dan ditemui berdekatan mayat Maysarra.

Seorang lagi yang meninggal dunia ialah Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Alor Teja, Basarah Saad, 45 yang dirempuh ketika membantu menyelamatkan pelajar keluar daripada bas berkenaan.

Dia menaiki bas lain bersama rombongan Wanita UMNO Kedah yang dalam perjalanan menghadiri program parti di Tanjung Karang, Selangor, dan berhenti di tempat kejadian atas permintaannya sendiri untuk membantu mangsa.
Kemalangan juga menyebabkan guru mereka, Rosilawati Mat Rifin, 40, dan Azriahani Ahmad, 31 tahun cedera parah. Empat pelajar, Abdul Rahman Danial Abdul Ghani, Mohd Azim Dahalan, Moha Faisal Anuar dan Mohammad Shariffuddin, semuanya berusia 15 tahun dan anak Azriahani, Idzmi Haikal Khairul Shah, 5 yang mengikut ibunya juga parah.

Selain itu, 22 lagi pelajar dan seorang guru cedera ringan. Semua yang cedera ringan dan cedera parah dirawat di HSR dan Hospital Teluk Intan (HTI). Mereka adalah antara 60 pelajar dan tujuh guru SMK Air Merah yang menyertai rombongan menaiki dua bas, tetapi satu lagi tidak terbabit dalam kemalangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Md Tahir Kassim, berkata mangsa yang menyertai rombongan tiga hari dua malam ke Kuala Lumpur dan Genting Highlands itu, menaiki bas persiaran itu di Kulim pada jam 11.30 malam kelmarin, menuju ke ibu negara.

“Siasatan awal mendapati bas dipandu lelaki berusia 25 tahun itu terbabas ke kiri jalan lalu terbalik dalam posisi mengiring. Dalam keadaan kelam kabut pelajar dan guru menyelamatkan diri, treler membawa muatan pasir yang datang dari belakang melanggar bas berkenaan.

“Kita sudah menahan pemandu bas dan pemandu treler untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Petikan Berita Harian online.

..................................................................................................................


Tarikh 11.11.11 itu sangat cantik dipandang dan di baca, tarikh yang tak mungkin dapat dilupakan oleh sesiapa sahaja yang mengabadikan segala kenangan pada tarikh ini... Ada yang melahirkan anak, ada yang memilih sebagai tarikh perkahwinan dengan pasangan masing2 dan sebagainya..... 

Namun tarikh yang cantik ini bukan hanya menyimpa seribu satu kisah manis tetapi kisah tragis dan sedih juga kepada individu tertentu dan yang pasti sudah terpilih dan tercatat oleh-Nya....

Takziah kepada keluarga mangsa tragedi... Ajal maut ditangan Tuhan...
Semoga keluarga banyak2 bersabar dan sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada mangsa-mangsa kemalangan.

P/s: Kepada pemandu2 lain.. Sentiasa berhati2 di jalan raya..

No comments:

Post a Comment